Sunday, October 24, 2010

Makanan Terbaik Adalah Makanan Syurga...

Salam sejahtera sahabat handai....

Kali ini Teropong alam ingin berkongsi info mengenai makanan di Syurga..

Makanan di syurga tidak seperti makanan di dunia yang fana ini yang kalau kita nikmati banyak kesannya pada tubuh badan kita ini sama ada kita sedar atau tidak. Dan sudah pastinya banyak negatifnya dari positif. Ahli syurga boleh makan dan minum sepuas-puasnya tanpa perlu sakit perut atau membuang air.

Rasulullah s.a.w bersabda ; "Sesungguhnya ahli syurga makan dan minum. Namun mereka tidak meludah, kencing, buang air ataupun mengeluarkan hingus."
Lalu para sahabat bertanya; "Lalu apa jadi pada makanan mereka?"
Rasulullah s.a.w menjawab; "Menjadi peluh yang berbau kasturi. Mereka diilhamkan untuk bertasbih dan memuji Allah sebagaimana mereka diilhamkan untuk bernafas." (Riwayat Imam Muslim daripada Jabir r.a.)

Oleh sebab syurga ialah negeri yang abadi, maka makanan syurgawi itu mengandungi sifat keabadian. Kalau sedikit daripada makanan itu dimakan manusia di dunia ini, nescaya ia tidak akan berasa lapar lagi hingga akhir hayatnya. Dan menariknya, peristiwa ini memang benar-benar berlaku.

Imam Tajuddin Ibn al-Subki (w.771H) bercerita dalam kitabnya Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra (beliau menukilnya daripada Tarikh Nisabur karya Imam al-Hakim) mengenai seorang perempuan yang suaminya baru sahaja mati syahid. Ia lalu bermimpi berjumpa dengannya di dalam syurga. Si suami memberi isterinya sedikit daripada makanan syurga yang sedang disantapnya. Wanita itu berkata, "Bentuknya seperti roti, namun warnanya lebih putih daripada salji dan susu. Rasanya lebih manis daripada madu dan gula. Lebih lembut daripada mentega dan samin."

Setelah terjaga daripada tidurnya, wanita ini berasa sangat kenyang. Dan sejak hari itu, ia tidak pernah berasa lapar dan haus lagi. Beliau juga tidak pernah mengeluarkan najis hingga akhir hayatnya.

(Sumber daripada Majalah Solusi Isu 22)

Sungguh besar nikmat yang Allah berikan kepada penghuni negeri abadi (syurga). Semoga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang akan mendiaminya..

0 comments: