Sunday, October 24, 2010

Makanan Terbaik Adalah Makanan Syurga...

Salam sejahtera sahabat handai....

Kali ini Teropong alam ingin berkongsi info mengenai makanan di Syurga..

Makanan di syurga tidak seperti makanan di dunia yang fana ini yang kalau kita nikmati banyak kesannya pada tubuh badan kita ini sama ada kita sedar atau tidak. Dan sudah pastinya banyak negatifnya dari positif. Ahli syurga boleh makan dan minum sepuas-puasnya tanpa perlu sakit perut atau membuang air.

Rasulullah s.a.w bersabda ; "Sesungguhnya ahli syurga makan dan minum. Namun mereka tidak meludah, kencing, buang air ataupun mengeluarkan hingus."
Lalu para sahabat bertanya; "Lalu apa jadi pada makanan mereka?"
Rasulullah s.a.w menjawab; "Menjadi peluh yang berbau kasturi. Mereka diilhamkan untuk bertasbih dan memuji Allah sebagaimana mereka diilhamkan untuk bernafas." (Riwayat Imam Muslim daripada Jabir r.a.)

Oleh sebab syurga ialah negeri yang abadi, maka makanan syurgawi itu mengandungi sifat keabadian. Kalau sedikit daripada makanan itu dimakan manusia di dunia ini, nescaya ia tidak akan berasa lapar lagi hingga akhir hayatnya. Dan menariknya, peristiwa ini memang benar-benar berlaku.

Imam Tajuddin Ibn al-Subki (w.771H) bercerita dalam kitabnya Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra (beliau menukilnya daripada Tarikh Nisabur karya Imam al-Hakim) mengenai seorang perempuan yang suaminya baru sahaja mati syahid. Ia lalu bermimpi berjumpa dengannya di dalam syurga. Si suami memberi isterinya sedikit daripada makanan syurga yang sedang disantapnya. Wanita itu berkata, "Bentuknya seperti roti, namun warnanya lebih putih daripada salji dan susu. Rasanya lebih manis daripada madu dan gula. Lebih lembut daripada mentega dan samin."

Setelah terjaga daripada tidurnya, wanita ini berasa sangat kenyang. Dan sejak hari itu, ia tidak pernah berasa lapar dan haus lagi. Beliau juga tidak pernah mengeluarkan najis hingga akhir hayatnya.

(Sumber daripada Majalah Solusi Isu 22)

Sungguh besar nikmat yang Allah berikan kepada penghuni negeri abadi (syurga). Semoga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang akan mendiaminya..

Saturday, October 23, 2010

Tips Untuk Membuat Keputusan

Salam sejahtera semua,

Hari ini teropong alam nak berkongsi sedikit tips yang teropong alam baca dari majalah solusi isu 22.

Kita mesti pernah menghadapi kesulitan dalam membuat sesuatu keputusan atau pilihan..(Kadang-kadang nak beli pencuci pinggan pun susah nak pilih nak jenis biasa ke jenis luar biasa ke jenis tut ke) teropong alam x pernah ler ;) tapi selalu terkena..

Jadi 3 tips di bawah ini boleh kita amalkan untuk membantu kita membuat pilihan yang terbaik untuk kita.

1) Solat istikharah..
Solat istikharah patut menjadi amalan umat Islam dalam membuat sebarang keputusan. Tidak semua perkara yang kita suka adalah yang terbaik untuk kita dan perkara yang kita tak suka mungkin adalah yang terbaik untuk kita bahkan mungkin memberi manfaat yang besar sepanjang hidup kita. Hanya Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita seperti firmanNya yang bermaksud :
"Dan boleh jadi kamu benci sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka sesuatu padahal ia buruk untuk kamu. Dan ingatlah, Allah jualah yang mengetahui semua itu, sedang kamu tidak mengetahuinya." Al-Baqarah 2:216.
Oleh itu, jika kawan-kawan ingin membuat sesuatu keputusan yang besar, adalah lebih baik kita mohon petunjukNya supaya pilihan kita nanti akan membawa manfaat dan bukan mudharat pada kita. Apa-apa pun kembali padaNya.

2) Musyawarah..
Cara kedua ini sesuai diamalkan dalam sesuatu organisasi seperti dalam keluarga, persatuan dan sebagainya. Musyawarah, syura, bermesyuarat atau diskusi amat penting. Satu akal yang bersuara membuat keputusan sama sekali tidak sama dengan suara majoriti atau akal yang kurang ilmu dan pengalaman tidak dapat membuat keputusan sematang mereka yang berilmu dan mempunyai pengalaman hidup yang banyak. Oleh sebab itu, mintalah pendapat orang soleh, ilmuwan atau mereka yang lebih berumur daripada kita seperti ibu bapa dalam membantu membuat keputusan.

3) Dengar kata hati.
Hati pun boleh memainkan peranan dalam membuat keputusan. tetapi ada syaratnya. Bukan sebarangan hati yang kita boleh ikut. Nanti jadi pula ikut hati mati jadinya. Hanya hati yang cintakan Allah dan Rasul yang layak dipertimbangkan. Oleh itu, dengarlah kata hati selepas solat terutamanya selepas solat fardhu, solat taubat atau solat istikharah serta ketika sedang berpuasa.

Itulah 3 tips yang ingin teropong alam kongsikan kali ini. semoga keputusan yang kita ambil selepas ini akan memberi manfaat yang berguna bukan sahaja pada kita tetapi seluruh orang di sekeliling kita. Apa yang ingin teropong tambah tips ini tidak diamalkan dalam menyempurnakan arahan Allah dan meninggalkan laranganNya. Sebab itu semua adalah ketentuan yang Maha Berkuasa. Tidak perlulah kita berfikir lagi untuk melaksanalannya.

Semoga kita terus dirahmatiNya....

Jumpa lagi..